Facebook Twitter RSS

Ads 468x60px

Senin, 26 Maret 2012

Takdir Tuhan atau Angkara Manusia


Kita, manusia memiliki bermacam ragam dan tahap kecerdasan yang dapat kita gunakan untuk memahami diri dan keadaan sekeliling kita. Pemahaman ini di samping membawa kita menemukan Yang Maha Kuasa, juga dapat menyentuh batin kita untuk melangkah ke jalan yang benar dan diredai dengan memahami dan mengambil iktibar dari setiap apa yang kita saksikan di alam ini.

Kita percaya dan yakin bahawa bencana tanah runtuh yang menimpa penduduk sekitar Bukit Antarabangsa, Selangor itu menuntut kita untuk berfikir dengan penuh kecerdasan spiritual dan emosional atau dengan mata hati. Lihatlah dengan mata hati, kalau tidak tanda-tanda keesaan dan kekuasaan Allah SWT tidak akan terjangkau sama seperti seorang yang sedang menikmati kemerduan muzik dengan menggunakan mata sambil menutup telinganya.
"Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dan dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai." (Surah Rum ayat 7).
Demikian juga dalam memerhatikan dan memahami ayat-ayat Allah, seandainya mereka melihat ayat-ayat tersebut dengan pandangan mata atau dengan pelbagai aneka fenomena tetap tidak dapat meletakkan atau memanfaatkannya sebagai bukti keesaan dan kekuasaan Allah SWT.
Malah ia juga tidak dapat membawanya memahami makna hidup dan peranan manusia di pentas dunia ini. Boleh jadi mereka melihatnya sebagai satu perbuatan sihir atau mitos atau boleh jadi juga mereka melihatnya semata-mata sebagai fenomena alam dan tidak mengaitkannya sedikit pun dengan Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud: Aku akan memalingkan hati orang-orang yang sombong dan takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan yang benar dari memahami ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); Dan mereka yang bersifat demikian jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu kerana mereka mendustakan ayat- ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripada-Nya. (Surah al-Araf ayat 146).
Jadi, apakah kaitan antara kederhakaan manusia kepada Allah seperti kekufuran dengan bencana alam? Di dalam al-Quran sendiri banyak menyentuh hal sedemikian. Hanya manusia seringkali alpa menemukan makna antara yang makruf dengan yang mungkar.
Dosa dan pelanggaran yang dilakukan manusia mengakibatkan gangguan terhadap keseimbangan di darat, di laut dan udara. Ketiadaan keseimbangan itu, mengakibatkan bencana bagi makhluk yang hidup termasuk manusia. Semakin banyak pengurusan terhadap persekitarannya, semakin besar pula kesan keburukannya. Semakin banyak serta bermacam-ragam dosa manusia, semakin parah pula kerosakan persekitarannya. Hakikat ini merupakan kenyataan yang tidak dapat ditolak, apabila kita mengaitkannya dengan fenomena yang melanda manusia akhir-akhir ini. Demikianlah Allah SWT menciptakan semua makhluk, saling kait-berkait. Dalam kaitannya yang harmonis, lahir keserasian dan keseimbangan dari yang terkecil hingga yang terbesar, dan semuanya tunduk dalam pengaturan Allah SWT.
Apabila terjadi gangguan pada keharmonian dan keseimbangan itu, maka kerosakan tidak dapat dielak, dan ini memberi kesan kepada seluruh bahagian alam, termasuk manusia.
Alam raya dengan segala bahagiannya yang mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain, bagaikan satu tubuh badan dalam satu ikatan ia merasai rasa sakit atau sihatnya. Demikian juga dalam pelaksanaan kegiatan dan kewajipannya. Seluruhnya saling pengaruh-mempengaruhi, dan sebagaimana dijelaskan oleh al-Quran, pada akhirnya semua itu akan kembali kepada Allah SWT. Apabila salah satu bahagian tidak berfungsi dengan baik atau menyimpang dari jalan yang seharusnya ia tempuh, maka akan tampak kesan negatifnya pada bahagian yang lain. Kesan ini akan mempengaruhi pada seluruh bahagian. Hal ini berlaku terhadap alam raya dan merupakan hukum alam yang ditetapkan Allah SWT yang tidak mengalami perubahan, termasuk terhadap manusia, di mana manusia pun tidak mampu mengelakkan diri daripada mengalaminya.
Masyarakat manusia yang menyimpang dari jalan lurus yang di tetapkan oleh Allah, termasuk yang berkaitan dengan alam raya akan terasa impak yang negatif hasil daripada penyelewengan itu. Apabila keadaan itu terjadi, maka akan lahir krisis dalam kehidupan bermasyarakat serta gangguan dalam interaksi sosial mereka seperti krisis moral, ketandusan kasih sayang dan kekejaman. Bahkan lebih daripada itu akan bertimpa-timpa musibah dan bencana alam seperti "keengganan langit menurunkan hujan atau bumi menumbuhkan tumbuhan", datangnya banjir atau tanah runtuh serta gempa bumi dan bencana alam yang lain. Semua itu adalah ayat-ayat atau tanda-tanda yang diberikan Allah SWT.
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT mahu merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat." (Surah ar-rum: ayat 41).
Justeru itu dalam usaha mengharungi kehidupan duniawi, kita harus berasa senang menerima hukum dan peraturan Ilahi. Ia bersesuaian seperti mana firman Allah di dalam Surah at-Taubah ayat 59 yang bermaksud: Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang yang diberikan Allah dan rasul-Nya kepada mereka, dan berkata, "Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).
Ditetapkan
Ada pun perkara yang termasuk dalam ruang lingkup yang diterima dengan perasan senang hati (reda) itu ialah ketentuan-ketentuan (qadar) yang sudah ditetapkan Allah untuk setiap orang atau sesuatu bangsa.
Ketentuan-ketentuan itu yang umumnya disebut takdir pada asasnya melibatkan dua perkara. Pertama berupa nikmat yang pasti akan diterima manusia dengan perasaan senang dan dengan penuh kegembiraan dan kedua merupakan bencana (musibah yang pelbagai bentuk).
Ketika kita ditimpa bencana, sudah tentu kita akan mengeluh, sedih dan berkata-kata dalam hati mengapa musibah itu menimpa ke atas diri. Sikap seumpama ini termasuk dalam kategori tidak redha menerima takdir ketentuan Ilahi.
Walhal dalam Islam dianjurkan agar kita bersikap seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud: Apabila sesuatu musibah menimpa engkau, maka janganlah engkau berkata, ''Kalau (tadinya) aku berbuat begitu tentulah jadinya akan begini." Tetapi katakanlah, ''Allah telah mentakdirkan yang demikian dan apa-apa yang dikehendaki- Nya, Dia perbuatkan." Ucapan "kalau- kalau" itu hanyalah membukakan peranan syaitan. (Riwayat Muslim).
Sikap reda itu haruslah ditunjukkan, baik ketika menerima nikmat mahupun ketika ditimpa musibah. Seorang ahli tasawuf wanita yang terkenal iaitu Rabiatul Adawiyah, ketika ditanyakan orang, apakah ciri-ciri seorang hamba yang reda terhadap Tuhannya, beliau menjawab, "Apabila kegembiraannya menerima musibah serupa dengan kegembiraannya ketika menerima nikmat."
Dalam al-Quran telah disebut tidak kurang daripada 70 kali perkataan-perkataan yang mengandungi maksud reda. Pada umumnya, ia mempunyai kaitan dengan masalah iman, amal soleh, kebajikan dan nilai utama yang lainnya.
Malah sumber daripada sikap reda itu ialah iman, sehingga semakin kuat dan tebal iman seseorang semakin mantap pula sikap reda yang bersemi di dalam jiwanya.
Allah SWT amat murka terhadap orang-orang yang tidak reda kepada ketentuan-Nya. Begitu rupa kemarahan Tuhan itu, sehingga Allah mempersilakan supaya perkara yang bersangkutan mencari Tuhan yang lain.
Hal ini dijelaskan dalam satu hadis Qudsi yang menyatakan, Barang siapa yang tidak sabar terhadap ujian-ujian-Ku dan tidak bersyukur kepada nikmat-nikmat-Ku dan tidak reda kepada ketentuan-ketentuan-Ku, maka hendaklah ia mencari Tuhan yang lain selain daripada Aku.
Menurut huraian ahli-ahli tafsir, ada tiga keistimewaan yang akan dihayati oleh orang yang bersikap reda iaitu yang pertama akan selalu mendapat petunjuk (hidayah) Allah.
Kedua ialah akan memperoleh keselamatan dan kebahagiaan hidup dan ketiga adalah senantiasa disenangi Allah.
Dalam kehidupan dan perjuangan seorang Islam, sikap reda itu adalah tahap terakhir yang harus diterima setelah terlebih dahulu melakukan usaha (ikhtiar) dengan segala kemampuan. Kalau dia menghadapi masalah di mana dia harus memilih antara dua alternatif yang sama kuat, maka hendaklah dia berhubungan dengan Allah SWT dengan melakukan solat Istikharah supaya dicondongkan hatinya memilih yang lebih baik.
Kalau pilihan atau keputusan itu sudah ada meskipun buruk dan tidak sesuai dengan harapan, dia tetap menerima ketentuan itu dengan sikap yang reda.
Di sinilah terletak kebahagiaan bagi seorang Islam, seperti yang dijelaskan dalam satu hadis diriwayatkan Al-Bazar yang bermaksud: Kebahagiaan manusia ialah memohon pilihan kepada Tuhannya dan bersikap reda terhadap ketentuan (qada) tersebut. Tanda dari kecelakaan manusia ialah meninggalkan usaha istikharah (memohon pilihan) dan tidak reda terhadap ketentuan (yang diterimanya).
Dr. Yusuf Qaradawi menyatakan bahawa seorang Islam harus bersikap reda terhadap perkara iaitu reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya, reda terhadap alam dan hidup, reda terhadap takdir dan reda terhadap rezeki yang dikurniakan Allah SWT.