WAJIB
bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang
diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.
Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim
perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam
membacanya.
-Membacanya
dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk yang sopan dan
tenang. Dianjurkan
agar pembaca berada dalam keadaan suci.
Imam Haromain berkata: "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis,
dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan
sesuatu utama".
- Membacanya dengan
perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat yang dibaca.
Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran (khatam) kurang dari tiga hari,
bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan).
Sebagian kelompok daripada generasi
pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam berdasarkan hadis di
atas. Rasulullah
memerintahkan Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu
minggu (tujuh hari) (Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Utsman bin Affan, Zaid bin Tsabit. Mereka
mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam seminggu.
- Membaca Al-quran secara
khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang
menyentuh jiwa dan perasaan.
Dalam
hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Bacalah al-Quran dan menangislah,
apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat yang engkau
baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar).
Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian
daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan
mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan
mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 109).
- Membaguskan suara
membacanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hiasilah Al-Quran
dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis
lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan Al-Quran.”
(Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).
Maksud hadis di atas ialah membaca
al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhroj hurufnya, panjang
pendeknya bacaan, tidak sampai keluar daripada ketentuan kaedah Tajwid.
- Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan
bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah
daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98).
- Apabila ayat yang
dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus membaca Basmalah dan
apabila tidak di awal surah cukup membaca isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun
dibaca mulai awal surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup dengan membaca
isti’adzah saja.
- Membaca Al-Quran
dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami inti daripada ayat yang dibaca
dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah
mereka tidak memperhatikan Al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah
Muhammad: Ayat 24).
- Membaca al-Quran
dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya dengan
suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang. Bacalah dengan suara atau dalam hati
secara khusyuk. Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di
tempat orang banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan
dalam sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad).
Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah
bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu
daripada kamu mengganggu yang lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh
mengangkat suara atas yang lain di dalam membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat:
Abu Dawud, Nasa'i, Baihaqi dan Hakim).
Jangan jadikan ibadah yang kita lakukan
sia-sia kerana kita tidak mengendahkan sunnah Rasulullah dalam melaksanakan
ibadah membaca al-Quran.
Misalnya, membaca dengan suara keras
pada larut malam, yang akhirnya mengganggu orang yang istirahat dan solat
malam.
- Dengarlah bacaan al-Quran. Jika ada yang membaca al-Quran, maka
dengarlah bacaannya itu dengan tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan
tatkala dibacakan al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi
rahmat.” (Surah Al-A’raaf: Ayat 204).
- Membaca dengan saling bergantian. Membaca al-Quran, boleh
dilakukan secara bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan
tenang. Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah Allah,
mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun atas
mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah), malaikat menyertai
mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan (malaikat) yang ada di
sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud).
- Melakukan sujud
Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat Sajdah, pada bila-bila
masa saja, baik siang ataupun malam, jika pembacanya belum batal daripada
wuduk. Tatacara
pelaksanaannya dimulai daripada takbir, lalu sujud, kemudian membaca “Subhaana
Rabbiyal A’laa”' (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha Tinggi), lalu dilanjutkan dengan
doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada sujud tanpa takbir dan salam,
kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w mengenai hal itu, kecuali jika
sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah pelaksanaan solat, maka ia
bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada sujud.
- Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah riwayat dijelaskan, bahawa
sahabat apabila khatam membaca al-Quran, mereka berkumpul untuk berdoa dan
mengucapkan: “Semoga rahmat turun atas selesainya membaca al-Quran.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada
Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa apabila dia sudah khatam membaca Al-Quran,
dia mengumpulkan keluarganya dan berdoa. (Hadis Riwayat: Abu Dawud).
Setiap orang Islam wajib mengatur
hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian dan
kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya.
Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda
kita beriman kepada al-Quran.
By: Moh. Siddiq (Abah)